PEMAIN Real Madrid menjulang trofi Piala Super Sepanyol selepas menang 4-1 ke atas Barcelona di Riyadh. FOTO REUTERS
PEMAIN Real Madrid menjulang trofi Piala Super Sepanyol selepas menang 4-1 ke atas Barcelona di Riyadh. FOTO REUTERS
Reuters

Riyadh: Vinicius Jr menjaringkan hatrik pada babak pertama yang membantu Real Madrid muncul juara Piala Super Sepanyol selepas membelasah Barcelona 4-1 di Arab Saudi, awal pagi tadi.

Real mendominasi setiap aspek permainan dan mempermainkan juara tahun lalu itu yang gagal mengekang Vinicius dan menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Ronald Araujo dilayangkan kad merah pada minit ke-71 akibat dua kali mengasari pemain licik Brazil itu.

"Saya tak jangka kami akan meraih tiga gol dengan begitu cepat, tetapi kami mengambil kesempatan ke atas sistem pertahanan mereka menerusi inspirasi Vinicius malam ini," kata pengurus Real, Carlo Ancelotti kepada Movistar Plus.

"Ia adalah perlawanan yang sukar, keputusan itu agak melampau berbanding cara Barcelona bermain. Ketika kedudukan 3-1, perlawanan masih seimbang dan hanya apabila kami mendahului 4-1, barulah lawan agak mengendur. Kami cukup gembira."

Ancelotti dilihat simpati terhadap Barca yang mungkin tewas dengan jumlah jaringan lebih besar berikutan aksi longlai pada babak kedua apabola tidak mampu membuat percubaan tepat ke sasaran.

Kehebatan Real bermula dari awal menerusi gandingan Jude Bellingham, Rodrygo da Vinicius yang mencipta pelbagai kesengsaraan buat benteng Barcelona yang bermain dengan sistem barisan agak tinggi.

Real hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di depan menerusi umpanan menarik Bellingham apabila pemain tengah England itu yang dikepung tiga pemain berjaya meloloskan diri sebelum mengumpan kepada Vinicius.

Gol kedua Real hadir menerusi satu lagi hantaran jauh dan kali ini menerusi Dani Carvajal apabila bola singgah di kaki Rodrygo.

Dia kemudian masuk ke dalam kotak penalti dan mengumpan kepada Vinicius yang menolak mudah untuk Real menjarakkan kedudukan pada minit ke-10.

Robert Lewandowski merapatkan jurang buat Barca pada minit ke-33, namun Vinicius Jr ditarik oleh Araujo dalam kotak penalti dan Vinicius menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-39.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:23 AM