JUNIOR meraikan jaringan kedua Real. FOTO Reuters
JUNIOR meraikan jaringan kedua Real. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Vinicius Junior menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut bagi membantu Real Madrid bangkit menewaskan Real Mallorca 4-1 dalam aksi La Liga awal pagi tadi sekali gus mengekalkan permulaan cemerlang musim baharu.

Mallorca mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi Vedat Muriqi minit ke-34 tetapi Federico Valverde menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat hasil larian pantas.

Vinicius meletakkan Real di depan 18 minit sebelum permainan tamat dan dua jaringan lagi menerusi Rodrygo dan Antonio Rudiger melengkapkan kemenangan kelima skuad Carlo Ancelotti yang kembali memintas Barcelona selaku pendahulu.

"Vini pemain istimewa dengan cara dia beraksi dan juga karakternya," kata Ancelotti. "Dia mempunyai kualiti luar biasa.

"Perlawanan ini sangat sukar kerana beberapa sebab. Selain panas, kami dibolosi daripada set-piece. Semua ini agak sukar dijangka tetapi kami akhirnya berjaya menukar situasi dan menang perlawanan."

Madrid beraksi tanpa penyerang Karim Benzema, calon pilihan Ballon d'Or bulan depan yang tersisih akibat kecederaan dialami ketika menewaskan Celtic dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Pasukan mampu beraksi dengan baik tanpa Karim. Ia petanda positif dan melonjakkan keyakinan pemain," kata Ancelotti. "Tetapi kami berharap dia dapat pulih dan beraksi secepat mungkin."

Real kini meraih 15 mata dengan lima kemenangan daripada lima perlawanan, dua mata mengatasi Barcelona yang menewaskan Cadiz 4-0 kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 7:15 AM