MESSI terus pamer aksi cemerlang.
MESSI terus pamer aksi cemerlang.
AFP

Madrid: Lionel Messi menyerlah dengan hatrik mengagumkan bagi memastikan Barcelona kekal mencabar pendahulu La Liga, Real Madrid dengan kemenangan 4-0 ke atas Deportivo la Coruna di laman lawan, sekali gus merapatkan jurang kepada satu mata.

Terdahulu, Cristiano Ronaldo melengkapkan minggu gemilang apabila ditabal Pemain Terbaik Dunia buat kali ketiga dengan menjaringkan dua gol ketika Real meledak tiga kali pada setengah jam terakhir sebelum menundukkan Getafe 3-0.

Atletico Madrid yang menyingkirkan Real daripada Piala Raja Sepanyol pada pertengahan minggu, kembali berada empat mata di belakang jiran setempat mereka apabila gol Mario Mandzukic dan Raul Garcia membantu mengatasi Granada 2-0.

“Messi berada pada tahap luar biasa sepanjang musim,” kata bos Barca Luis Enrique, di sebalik laporan pergeseran di bilik persalinan antara kedua-duanya baru-baru ini.

“Dia tidak pernah merudum bila-bila masa. Dia memang bertaraf dunia.”

Messi menyumbat hatrik pada minit ke-10, 33 dan 62 manakala satu lagi gol Barca disumbangkan pemain Deportivo, Sidnei yang menjaringkan gol sendiri tujuh minit sebelum tamat.

Real pula terpaksa menanti selama sejam sebelum memecah kebuntuan di Alfonso Perez Coliseum sebelum Ronaldo merembat masuk hantaran cantik Karim Benzema.

“Memang benar kami tidak bermula dengan menekan lawan sebaik mungkin,” kata bos Real, Carlo Ancelotti.

“Awalnya kami bermain agak perlahan, tapi saya sukakan persembahan ini kerana pasukan bermain dengan bijak dan lebih baik pada babak kedua berbanding babak pertama.

“Seluruh pasukan bermain baik, tapi hantaran Karim (Benzema) membuka permainan kami. Ia luar biasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:16 AM