PASUKAN Real meraikan kejayaan muncul juara Piala Dunia Kelab 2022. FOTO EPA
PASUKAN Real meraikan kejayaan muncul juara Piala Dunia Kelab 2022. FOTO EPA
AFP

Rabat: Real Madrid menjulang trodi Piala Dunia Kelab buat kali kelima selepas menang 5-3 ke atas Al Hilal dalam aksi final di Maghribi pagi tadi.

Vinicius Junior dan Fede Valverde meledak dua gol, manakala Karim Benzema turut mencetak nama sebagai penjaring selepas kembali pulih daripada kecederaan di Madrid untuk mencatatkan kejayaan gemilang ke atas wakil Arab Saudi.

Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti, yang layak sebagai juara Liga Juara-Juara musim lalu, mempunyai kualiti serangan yang terlalu hebat membuatkan lawan mereka sukar mengawal keadaan.

Kemenangan Real di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat itu adalah trofi kedua mereka musim ini, selepas memenangi Piala Super Eropah Ogos lalu.

Ia turut menebus kekecewaan mereka dalam kempen La Liga, selepas ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona, yang turut menewaskan Real dalam final Piala Super Sepanyol bulan lalu.

Real kini memegang rekod kemenangan paling banyak dalam kejohanan antara benua itu selepas memenangi Piala Intercontinental - perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan - pada tahun 1960, 1998 dan 2002, yang kemudian digabungkan dengan Piala Dunia Kelab pada tahun 2005.

"Kami amat gembira, buat kali kelapan Real adalah juara dunia, ia adalah apa yang kami perlu lakukan.

"Ia perlawanan yang bagus. Saya rasa barisan depan kami sangat hebat, dengan Vinicius, Karim, Valverde, yang meledak dua gol, serta kualiti pasukan yang bagus," kata Ancelotti.

Sebelum itu juara Copa Libertadores dari Brazil, Flamengo menduduki tempat ketiga selepas menewaskan kelab Mesir, Al Ahly 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 8:48 AM