PENANAMAN rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil dibuat secara tender terbuka.
PENANAMAN rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil dibuat secara tender terbuka.

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menegaskan tidak berlaku sebarang penyelewengan kos dalam penyediaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Khairy berkata, pengubahsuaian dan penyelenggaraan stadium termasuk penanaman semula rumput dibuat secara tender terbuka.

“Kita akan tengok keadaan padang di stadium itu menjelang beberapa perlawanan dalam masa terdekat dan jika perlu kita akan lihat apa pilihan boleh diambil untuk memperbaiki mutu padang itu.

“Saya sudah berjumpa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk membincangkan hal ini. Masalah struktur permukaan padang itu sendiri yang tidak mudah diatasi,” katanya.

Pada tahun lalu, Khairy mengarahkan Stadium Nasional ditutup selepas aduan keadaan padang di stadium berkenaan tidak sesuai sehingga memaksa perlawanan persahabatan antara Barcelona FC dan Malaysia ditukar ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir.

Namun, agak memeranjatkan apabila masalah rumput yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta berulang lagi. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mencuba dua jenis rumput iaitu rumput jenis Cow Grass and Bermuda Green Mountain.

Sementara itu, pakar rumput tempatan Normas Yakin Md Arrifin mencadangkan PSM menggunakan rumput jenis ‘Zoysia Matrella’ atau lebih dikenali dengan nama ‘Manila Grass’ yang dilihat lebih rendah kos penyelenggaraannya.

Katanya rumput yang digunakan kini bukan sahaja memerlukan penjagaan teliti, malah kos penyelenggaraan tinggi terpaksa ditanggung sekiranya PSM masih mahu menggunakan jenis rumput itu.

“Penjagaan yang teliti harus dilakukan sekiranya mahu mengekalkan rumput jenis itu, sudah pasti akan membabitkan jumlah perbelanjaan besar,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:06 AM