DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berganjak untuk memburu slot ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2023 walaupun dilihat bakal berhadapan pelbagai rintangan berliku untuk beraksi di Peru, hujung tahun ini.

Skuad bimbingan Osmera Omaro itu akan berkelana di beberapa negara seperti Jepun, Qatar dan Arab Saudi sebagai persiapan untuk mengharungi Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Bangkok, Jun ini.

Sebagai rekod, empat pasukan terbaik di Piala Asia B-17 akan layak ke Piala Dunia B-17 sebagai wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin optimis 'ubi muda' negara mampu mencipta kejutan namun ia hanya dapat direalisasikan dengan usaha keras daripada pemain untuk mencipta sejarah.

"Peluang itu 50/50 tetapi kita kena kerja keras untuk layak ke Piala Dunia di Peru dengan menjadi empat pasukan terbaik di Bangkok nanti.

"Sasaran kita adalah untuk mendapatkan mata ataupun layak ke suku akhir. Itu pun sudah dianggap satu kejayaan tetapi lebih baik kalau kita layak ke separuh akhir dan final.

"Kita tidak pernah ke Piala Dunia untuk apa sahaja kategori usia. Tetapi suku akhir pun pencapaian yang baik kerana kita menjadi lapan terbaik di Asia," katanya.

Mengikut rekod, pencapaian terbaik skuad B-17 di Piala Asia adalah mara sehingga ke suku akhir edisi 2014 sebelum langkah mereka disekat Australia.

Piala Dunia B-17 2023 Peru bermula November depan menampilkan 24 pasukan daripada enam konfederasi dengan antara pasukan yang sudah layak adalah Peru selaku tuan rumah, Mexico, Amerika Syarikat, Kanada, Panama, New Caledonia dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 1:09 PM