PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan sebelum menentang Laos pada perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan sebelum menentang Laos pada perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh dikatakan bermimpi di siang hari apabila meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17), dijangka bermula September ini.

Ini kerana, berdasarkan persembahan skuad B-17 negara yang dikendalikan Osmera Omaro di Piala Asia B-17 di Bangkok, ketika ini, pemain muda negara menjadi mangsa belasahan dalam dua aksi awal peringkat kumpulan, sekali gus gagal layak ke pusingan seterusnya.

Sedangkan, untuk layak ke Piala Dunia B-17, skuad negara perlu mara ke separuh akhir Piala Asia B-17 itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, FAM seharusnya mengambil tanggungjawab apabila gagal membentuk skuad pembangunan yang mantap untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun skuad muda negara itu dibarisi graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), FAM sebenarnya badan sukan yang harus melakukan pembangunan akar umbi supaya lebih banyak pilihan untuk mewakili negara kelak.

"Saya boleh katakan sekarang ini sebenarnya kita tak ada fokus dalam membangunkan bola sepak akar umbi. Malah tidak banyak pasukan atau kelab secara serius membangunkan pemain muda seawal usia 10 tahun, sekali gus boleh beraksi untuk negara.

"Sekarang ini, FAM hanya mengharapkan pemain daripada AMD dan jika tewas sudah pastinya akademi itu menerima tempias kerana tidak mampu menghasilkan pemain berkualiti.

"FAM sepatutnya membentangkan ke mana perbelanjaan dan hala tuju program pembangunan yang mereka rancang selama ini supaya kita dapat lihat dengan jelas hasilnya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, skuad B-17 negara yang diletakkan sasaran untuk beraksi di Piala Dunia akhirnya hanya tinggal angan-angan kosong selepas tewas 0-4 kepada Yaman 0-4 dan tewas 0-3 kepada Thailand dalam saingan Kumpulan A.

Sudah pasti ia satu tamparan hebat buat skuad itu yang diletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir kejohanan bagi meraih tiket ke Piala Dunia B-17, hujung tahun ini.

Hasil kemenangan itu, Thailand dan Yaman mengesahkan kemaraan ke suku akhir dari Kumpulan A manakala skuad negara akan melengkapkan jadual dengan menentang Laos, esok.

Sementara itu, Sadek berkata, FAM seharusnya lebih berhati-hati mengumumkan sasaran supaya tidak memalukan badan induk bola sepak terbabit sekiranya gagal mencapainya.

Katanya, FAM perlu lebih rasional dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengumumkan sasaran kerana jelas sekali matlamat untuk beraksi di Piala Dunia B-17 jauh tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 4:32 PM