SKUAD B-17 negara ketika ini giat berlatih di Gambang, Pahang. FOTO FB FAM
SKUAD B-17 negara ketika ini giat berlatih di Gambang, Pahang. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Petaling Jaya: Harapan menggunung diletakkan di bahu skuad bawah 17 (B-17) tahun negara untuk mencipta sejarah layak ke Piala Dunia B-17 di Peru, hujung tahun ini.

Impian beraksi di Piala Dunia itu dizahirkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin secara ekslusif kepada Arena Metro.

Beliau menaruh harapan besar untuk melihat skuad Harimau Cilik kendalian Osmera Omaro layak ke Piala Dunia B-17 di Peru yang dijadual berlangsung dari 10 November hingga 2 Disember ini.

Jelasnya, bagi memastikan misi itu mampu direalisasikan, pasukan itu akan dihantar berlatih selama tiga minggu di sebuah akademi bola sepak terulung di dunia iaitu di Akademi Aspire di Qatar pada April nanti.

Katanya, sebelum ke terbang ke Akademi Aspire, pemain muda negara akan diterbangkan terlebih dahulu ke Jepun bagi menyertai kejohanan jemputan di negara Matahari Terbit itu pada bulan depan.

"Untuk pengetahuan pasukan ini akan ke Qatar, saya sudah berhubung dengan Qatar dan mereka sudah bersetuju semua dari 9 hingga 24 April, sebelum mereka pergi ke Bangkok (Piala Asia B-17).

"Saya dan FAM memang bagi tumpuan terhadap pasukan iniā€¦ini sebenarnya impian kita semua dan tak mustahil (layak) kerana senior dan junior (peringkat) ini jauh.

"Di Jepun akan ada kejohanan disertai pada bulan Mac nanti dan selepas itu akan ke Akademi Aspire selama tiga minggu di sana," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, Thailand bakal menjadi tuan rumah Piala Asia B-17 dari 3 hingga 20 Mei ini apabila Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir itu.

Empat pasukan terbaik di Bangkok nanti, akan mewakili benua Asia ke Piala Dunia B-17 di Peru nanti.

"Ini impian saya dan kita semua. Macam saya katakan, ia tidak mustahil. Kita lihat pasukan ini ada potensi dan mereka sekarang giat berlatih di Gambang, Pahang.

"Sebahagian besar pemain dikekalkan dan akan ada tambahan pemain bagi memperkuatkan pasukan ini.

"Saya mahu mereka cuba layak kerana ini adalah skuad masa depan dan aset pasukan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 9:42 PM