RAKAN sepasukan Sri Pahang FC meraikan kejayaan Zuhair. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
RAKAN sepasukan Sri Pahang FC meraikan kejayaan Zuhair. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Zuhair Aizat Mohd Nazri bersyukur kerana penampilan pertama dalam saingan Liga Super musim ini memastikan kemenangan ke atas Perak 3-0, kelmarin.

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad amat dihargai.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya serta rakan sepasukan.

"Begitu juga keluarga, khususnya ayah dan mak yang selalu mendoakan saya serta sokongan daripada peminat," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Pada perlawanan kelmarin, Zuhair yang masuk menggantikan kapten pasukan, Sergio Aguero pada babak kedua menjaringkan gol ketiga Sri Pahang pada minit ke-74.

Dua gol skuad Tok Gajah, masing-masing satu dijaringkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-12, Sfefano Brundo minit ke-34.

Sebelum ini, Zuhair tidak dapat disenaraikan kerana mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika pramusim di Bangkok, Thailand.

Berdepan skuad Seladang adalah penampilan pertama buat Zuhair musim ini.

Mengulas kecederaan itu, dia mengesahkan sudah pulih sepenuhnya dan sedia beraksi untuk membantu skuad Tok Gajah mendapat keputusan terbaik musim ini.

Sementara itu, Fandi berkata, gol ketiga yang dijaringkan oleh Zuhair diharap membantu meningkatkan semangat pemain tengah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 1:22 PM