ANTARA aksi Perak bertemu Sri Pahang, hari ini. FOTO Perak Football Club
ANTARA aksi Perak bertemu Sri Pahang, hari ini. FOTO Perak Football Club
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perak FC dan kad merah berpisah tiada apabila sekali lagi terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika berdepan Sri Pahang FC (SPFC) yang menyaksikan mereka tewas 0-3 di Stadium Perak, sebentar tadi.

Nasrol Amri menjadi pemain keempat skuad 'The Bos Gaurus' dilayangkan kad merah dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan ironinya, semua kad merah itu dilayangkan di venue sendiri.

Layangan kad merah yang diterima Nasrol pada minit ke-39 itu menjadikan misi skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim bertambah sukar selepas mereka sudahpun ketinggalan 0-2 ketika itu.

Pada aksi terbabit, anak buah Fandi Ahmad hanya memerlukan 12 minit untuk mendahului apabila serangan balas pantas yang dilakukan membuahkan hasil selepas hantaran Sergio Aguero disudahkan Kpah Sherman.

Jaringan kedua pelawat dihasilkan pada minit ke-34 bermula daripada sepakan percuma Fadhli Shas yang menemui Sherman sebelum 'sungkitan' Sherman ditampan Sfefano Brundo ke dalam gawang tuan rumah.

Tindakan Nasrol yang melakukan terjahan untuk menghentikan larian Aguero yang menerpa ke arah gol mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.

Bersambung babak kedua, Perak FC cuba memberi saingan kepada SPFC namun gagal mencipta peluang yang benar benar menguji gawang, Izham Tarmizi Roslan.

Selepas menepis percubaan Nor Azam Azih pada minit ke-66, Bryan See tumpas buat kali ketiga, kali ini menerusi penyudah pemain gantian, Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri pada minit ke-74.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:19 PM