ZUHAIR balas kepercayaan Dollah ke atasnya. FOTO Sri Pahang FC
ZUHAIR balas kepercayaan Dollah ke atasnya. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Zuhair Aizat Nazri teruja apabila muncul selaku penjaring ketika skuad itu menewaskan Sarawak United 4-1, kelmarin.

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, jaringannya pada minit terakhir perlawanan memberikan suntikan semangat buatnya.

"Saya bersyukur dan bangga kerana dapat memanfaatkan peluang yang diberikan jurulatih (Datuk Dollah Salleh) sebaik dimasukkan pada babak kedua perlawanan.

"Sudah semestinya saya gembira kerana misi Sri pahang ke Kuching ialah untuk mencatat kemenangan dan kami melakukannya," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Pada perlawanan itu, Zuhair Aizat menjaringkan satu gol pada minit akhir perlawanan manakala tiga gol lagi, masing-masing dua dijaringkan Steven Rodriguez pada minit ke-58, 78 dan satu gol oleh David Rowley pada minit ke-37.

Gol tunggal Sarawak United pula dijaringkan Zahrul Nizwan Joe Kifli pada minit ke-45.

Perlawanan itu menyaksikan Zuhair Aizat menggantikan Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-83.

Kepercayaan diberikan Dollah ternyata diterjemahkan dengan prestasi cemerlang termasuk menjaringkan satu gol.

Justeru, Zuhair Aizat berkata, gol pertama musim ini juga sebagai persediaan untuk mempamerkan prestasi terbaik pada kempen Piala Malaysia nanti.

"Saya juga gembira kerana gol itu dijaringkan sempena hari lahir saya yang ke-26," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:32 PM