BARISAN pemain Kedah giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
BARISAN pemain Kedah giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus fokus memperbaiki kelemahan apabila menentang Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Nafuzi Zain, skuadnya perlu mengambil pengajaran melalui perlawanan lalu untuk memastikan misi Kedah mendapat tiga mata pada perlawanan menentang skuad Sang Kijang Hijau.

"Bagi saya samada kita beraksi di tempat lawan atau berada di laman sendiri, dan dengan siapa kita berjumpa, apa yang lebih penting adalah persiapan kita sendiri untuk menghadapi sesuatu perlawanan itu.

"Kita mendapat banyak pengajaran dari perlawanan yang dilalui setakat ini dan jika kita dapat bermain dengan baik, kita tetap akan rasa puas hati.

"Jadi dengan aksi menentang Kelantan United FC ini, saya sangat berharap kita dapat memberi aksi yang baik mengikut perancangan yang kita aturkan," katanya.

Menurut Nafuzi lagi, Sang Kenari juga perlu melakukan sedikit perubahan pada skuadnya selepas tonggak utama serta ketua pasukan, Manuel Ott tidak dapat beraksi pada perlawanan itu akibat penggantungan kad merah.

"Memang kita akan terasa kehilangannya (Ott) kerana dia adalah pemain yang berperanan di bahagian tengah pasukan dan dialah yang menggerakkan jentera tengah.

"Namun perkara ini sudah terjadi (kad merah) dan kita terpaksa menerima keadaan ini dengan melakukan penggantian pemain agar dapat mengimbangi keadaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 1:16 PM