NAFUZI memohon maaf kepada penyokong KDA FC diatas layangan kad merah yang diterimanya ketika bertemu PDRM FC sabtu lalu. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI memohon maaf kepada penyokong KDA FC diatas layangan kad merah yang diterimanya ketika bertemu PDRM FC sabtu lalu. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain, memohon maaf kepada pihak pengurusan, pemain dan penyokong Sang Kenari diatas insiden kad merah yang terimanya pada aksi kekalahan 0-1 KDA FC kepada PDRM FC di Stadium Darul Aman sabtu lalu.

Menurut Nafuzi, faktor emosi yang tinggi sewaktu perlawanan itu berlangsung tanpa disedarinya telah 'mendorong' beliau bertindak di luar kebiasaan melalui reaksinya terhadap pengadil keempat.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak dan penyokong diatas insiden kad merah yang dilayangkan kepada saya ini sehingga kita gagal mencapai kemenangan pada perlawanan menentang PDRM FC yang lalu.

"Ini kerana saya terlalu mengikut emosi dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku, dan itu pengalaman yang pahit serta pengajaran untuk diri saya sebagai jurulatih," katanya sebaik tamat menjalani latihan petang di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Nafuzi juga mengakui sepanjang bergelar jurulatih, beliau belum pernah 'melebihi batas' seperti mana insiden yang telah berlaku pada minit ke-70 perlawanan itu.

"Perkara sebegini kali pertama terjadi kepada saya sepanjang mengendalikan pasukan dan ianya secara pantas dan spontan berlaku mungkin juga kerana saya terlalu mengikut emosi.

"Kebiasaannya, saya kekal tenang sahaja setiap kali perlawanan berlangsung, tetapi pada malam itu saya agak beremosi.

"Saya sedar sebagai manusia biasa itu kekhilafan daripada saya dan saya berjanji perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi," katanya.

Skuad Sang Kenari yang gagal meneruskan momentum kemenangan ketiga itu turut terkesan apabila kapten pasukan Manuel Ott terlebih dahulu turut dilayangkan kad merah susulan aksi pergelutan untuk mendapatkan bola untuk sepakan bebas dari pemain PDRM FC pada minit ke-59 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:05 PM