NAFUZI meniup semangat buat pemain menjelang perlawanan Piala FA. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI meniup semangat buat pemain menjelang perlawanan Piala FA. FOTO Ihsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain, mahu skuadnya bangkit dan memulakan 'episod' baharu menentang Penang FC dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Aman malam esok.

Menurut Nafuzi, kekalahan pertama dengan keputusan 0-1 dengan PDRM FC sabtu lalu itu menjadi pengajaran terbaik untuk semua pemain agar kembali bangkit dengan kekuatan baharu di hadapan penyokong yang terus setia bersama Sang Kenari.

"Perlawanan menentang Penang FC dalam saingan Piala FA yang juga pentas 'knock out', kita perlukan kemenangan untuk ke peringkat seterusnya.

"Saya begitu berharap pemain dapat bangkit kembali dengan aksi lebih bersemangat supaya tidak mengecewakan harapan penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu," katanya.

Nafuzi juga berkata, kekalahan luar jangkaan 0-1 kepada PDRM FC pada saingan Liga Super menjadi panduan serta pengajaran yang berguna bagi melakukan strategi berbeza yang cukup penting untuk perlawanan malam esok.

"Memang pemain kecewa selepas tewas pada namun saya percaya mereka memiliki kesedaran dan sudah mengambil setiap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran penting untuk kembali bangkit dalam membina kekuatan baharu.

"Saya akan kembali untuk berada di bangku jurulatih pada perlawanan Piala FA ini kerana ia adalah saingan yang berbeza dari Liga Super," katanya.

Menyentuh mengenai kekuatan lawan, Nafuzi juga mengingatkan pemainnya agar tidak mudah leka dan lalai bagi memastikan elemen kelemahan dan kesilapan tidak berulang memandangkan Penang FC juga memiliki pemain berpengalaman dalam Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:18 PM