LUKAKU (kanan) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun ia tidak memadai untuk membantu Inter Milan membawa pulang tiga mata. FOTO AP
LUKAKU (kanan) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun ia tidak memadai untuk membantu Inter Milan membawa pulang tiga mata. FOTO AP
Reuters

La Spezia, Itali: Harapan tipis Inter Milan untuk mengekori pendahulu Serie A, Napoli, musnah apabila mereka tewas mengejut 1-2 di tangan pasukan bergelut dengan penyingkiran, Spezia, menerusi gol lewat permainan, awal pagi hari ini.

Spezia memperoleh jaringan menerusi Daniel Maldini dan sepakan penalti M'Bala Nzola untuk menewaskan Inter buat kali pertama dalam sejarah sambil jaringan penyamaan Romelu Lukaku menerusi sepakan penalti akhirnya tidak membawa makna.

"Dalam bola sepak tiada diskaun dan anda terpaksa membayar jika melakukan kesilapan. Tidak betul apabila Inter kalah di Spezia," kata pengurus Inter, Simone Inzaghi kepada DAZN.

"Kami tidak tidur malam ini, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan ini, tetapi pemain memberikan segala-galanya malam ini. Kami tidak cukup tajam.

"Ini adalah bola sepak, kekalahan akan membuatkan anda lebih gagah. Kami banyak mengalaminya musim ini terutama di tempat lawan dan secara semulajadi, keputusan begitu tidak memuaskan hati."

Napoli kini mendahului Inter dengan 15 mata di tangga teratas sebelum melayan kunjungan Atalanta, hari ini.

Anak buah Simone Inzaghi menduduki tempat kedua dengan 50 mata iaitu dua mata di depan Lazio yang akan berkunjung ke Bologna.

AS Roma dan AC Milan pula tiga mata di belakang Inter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:50 AM