RAFAEL Leao (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain Spezia. FOTO EPA
RAFAEL Leao (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain Spezia. FOTO EPA
AFP

Rome: Peluang AC Milan untuk meraih kejuaraan pertama liga selepas sedekad terganggu dengan kekalahan mengejut kepada pasukan yang dinaikkan ke Serie A musim ini, Spezia dan bakal memberi laluan kepada Inter Milan untuk merampas kedudukan pendahulu.

Juara Eropah tujuh kali itu berpeluang untuk melebarkan jurang dengan Inter kepada lima mata dan meninggalkan Juventus 10 mata, yang tumpas 0-1 kepada Napoli.

Bagaimanapun, jaringan Giulio Maggiore dan Simone Bastoni pada malam penuh bersejarah buat Spezia bakal membuka ruang buat Inter mengatasi musuh setempat itu dengan kelebihan satu jika mereka berjaya mengalahkan Lazio awal pagi esok.

"Tidak pernah saya bermimpi untuk menjaringkan gol seperti ini. Jika kami terus bermain seperti ini, kami mampu mencapai sesuatu yang lebih hebat," kata Bastoni.

Spezia, yang bermula dengan divisyen empat pada 2008 selepas muflis, berjaya memberikan aksi terpuji dalam penampilan pertama mereka di Serie A dan melonjak ke tangga ke-14, sembilan mata dari zon penyingkiran.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma tidak dapat berbuat apa-apa pada minit ke-56 selepas Maggiore tidak dikawal dan meledakkan gol pembukaan tuan rumah.

Bastoni menggandakan kedudukan buat tuan rumah 11 minit kemudian hasil rembatan deras berpunca daripada sepakan percuma Nahuel Estevez.

"Kami harus bangkit dan kami akan melakukannya. Ia pengajaran berguna. Jika kami tidak beraksi pada tahap terbaik kami akan dimalukan seperti ini," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Kemenangan Spezia masih lagi membuka ruang buat Juventus untuk meraih kejuaraan walaupun gol ke-100 Lorenzo Insigne bersama Napoli memalukan penyandang juara itu dengan kekalahan 0-1.

Gol penyerang Itali pada minit ke-31 itu menerusi sepakan penalti memberi tiga mata penting buat jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso, yang dilaporkan berada pada kedudukan bahaya selepas aksi kurang konsisten sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 9:25 AM