INTER dan Juve dijangka terus menghambat Milan yang berada di tangga teratas Serie A. FOTO AFP
INTER dan Juve dijangka terus menghambat Milan yang berada di tangga teratas Serie A. FOTO AFP
AFP

Rome: Perlumbaan untuk menghambat pendahulu Serie A, AC Milan dijangka bertambah menarik hujung minggu ini apabila Juventus dan Inter Milan berdepan aksi penting selepas kedua-duanya berentap sesama sendiri baik di dalam mahupun di luar padang pertengahan minggu lalu.

Penyandang juara Juve, yang akan berkunjung ke Napoli pagi Ahad, menyingkirkan Inter dalam saingan Piala Itali selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Allianz sekali gus membolehkan mereka layak menerusi agregat 2-1.

Pengurus Inter, Antonio Conte dilihat menunjukkan isyarat jari kepada pengarah Juve pada pertengahan aksi, sementara rakaman melalui penyiar RAI pada hujung perlawanan menunjukkan pengerusi Juve, Andrea Agnelli menyuruh Conte jangan bising.

Akhbar Gazzetta Dello Sport melaporkan kedua-dua mereka bergaduh di terowong ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Juara Eropah tujuh Milan di bawah bimbingan Stefano Pioli dijangka bertahan di kedudukan teratas dengan kelebihan lima mata apabila akan berkunjung ke Spezia, manakala Inter menanti kunjungan Lazio.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi sembilan mata ketinggalan dengan pendahulu liga di tempat kelima namun berada pada prestasi terbaik dengan enam kemenangan berturut-turut selepas Ciro Immobile menemui semula sentuhan jaringan.

Jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso pula berjuang untuk menyelamatkan jawatannya menjelang pertemuan dengan Juve selepas aksi kurang konsisten menyaksikan mereka ketinggalan 12 mata di belakang Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 1:25 PM