BARISAN pemain KDA FC pada Majlis Pelancaran Jersi. FOTO Luqman Hakim Zubir
BARISAN pemain KDA FC pada Majlis Pelancaran Jersi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan tradisinya dengan mengekalkan imej warna kuning dan hijau pada jersi utama bagi saingan musim 2023 bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jersi utama diumumkan pada majlis Pelancaran Jersi dan Pengumuman Penaja di Stadium Darul Aman semalam ini dikemaskan dengan warna hijau di bahagian leher dan pangkal lengan jersi serta dipadankan dengan seluar berwarna hijau.

KDA FC turut memperkenalkan jersi kedua yang berwarna hijau gelap dengan kombinasi jalur kuning di atas bahu dipadankan dengan seluar berwarna hijau gelap itu akan digunakan pemain apabila beraksi di tempat lawan.

Kombinasi hijau dan kuning ini menjadi legasi buat skuad Sang Kenari dan menjadi identiti pasukan Kedah sejak mula diperkenalkan pada tahun 1987.

Pada majlis yang sama, Sang Kenari turut memperkenalkan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bin Zayed International LLC sebagai penaja utama Sang Kenari pada musim 2023 ini.

Penajaan syarikat gergasi dari UAE itu mencetus revolusi baharu buat Sang Kenari yang mahu memulakan era penswastaan dengan lebih berdaya maju dan kukuh.

Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, Pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Exco Belia dan Sukan Kedah Mohd Firdaus Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 12:37 PM