IFEDAYO fokus menjalani latihan bersama Sang Kenari di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC
IFEDAYO fokus menjalani latihan bersama Sang Kenari di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun nyata tidak sabar untuk turun beraksi bersama skuad Sang Kenari bagi menghadapi aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Dia yang gigih menjalani latihan dalam persiapan membuat penampilan pertama bersama pasukan berkata, semangatnya kini terus melonjak untuk memulakan tugas penting bersama Sang Kenari dan hanya menunggu 'lampu hijau' dari ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang akan menentukan perancangan menyeluruh pasukan.

"Sudah tentu saya rasa cukup bersemangat memulakan aksi bersama pasukan dan kini sedang fokus dalam persiapan yang mana juga ia aksi pertama saya bersama skuad Kedah.

"Namun samada saya dapat diturunkan dalam kesebelasan utama pada Ahad ini bergantung kepada keputusan yang akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan terajui ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

"Dengan latihan yang sedang saya jalani bersama pasukan, saya mahu terus memberi fokus utama berkaitan taktikal pasukan mengikut apa yang dirancangkan ketua jurulatih," katanya yang akan mengenakan jersi bernombor 12 untuk skuad Sang Kenari musim ini.

Penjaring terbanyak Liga Super untuk musim 2020 dan 2021 itu juga berkata, faktor keserasiannya dalam kombinasi bersama rakan pasukan adalah faktor penting bagi memastikan setiap taktikal yang dirancang memberi impak besar.

"Saya juga sudah melihat perlawanan membabitkan Kedah dan yang terbaharu ketika menentang Terengganu FC (TFC) pada Isnin lalu yang mana ia memberi rumusan buat saya mengenai kombinasi beberapa posisi dalam aspek ketika serangan.

"Jadi saya perlu cepat memahami keadaan kombinasi dalam pasukan ini dan ia penting untuk saya apabila memulakan aksi selepas ini bagi memastikan misi pasukan dapat dicapai," katanya.

Ifedayo dibawa masuk selepas ketiadaan bekas penyerang import, Willian Lira yang tidak lagi bersama Sang Kenari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:20 PM