CHIQUINHO (kiri) mendapat kepercayaan jurulatih untuk mengambil alih tugas Fernandez.
CHIQUINHO (kiri) mendapat kepercayaan jurulatih untuk mengambil alih tugas Fernandez.
AFP

Barcelona: Benfica menjual Enzo Fernandez dengan harga rekod perpindahan British pada Januari dan kini mencari pengganti dalam kalangan pemain mereka untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah menjelang saingan Liga Juara-Juara (UCL) yang kembali bersambung awal pagi Khamis ini.

Kelab Portugal itu tampak tidak berdepan masalah walaupun kehilangan beberapa bintang apabila pantas menemui pengganti berwibawa dan mereka dijangka tidak terjejas tanpa pemenang Piala Dunia dari Argentina itu.

Benfica kini lima mata di depan Porto selaku pendahulu liga Portugal dan berkunjung ke Club Brugge dalam aksi 16 terakhir UCL dengan harapan tinggi di sebalik ketiadaan Fernandez.

Walaupun tampil dalam kumpulan sukar bersama Paris Saint-Germain dan Juventus, Benfica tidak tewas dan menamatkan saingan selaku juara kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati yang menyaksikan gergasi Itali yang juga juara dua kali tersingkir.

Fernandez menjadi nadi kemaraan Benfica tetapi berpindah ke Stamford Bridge dengan yuran £106.8 juta (RM563.98 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan Januari, hanya enam bulan selepas tampil kali pertama dengan Benfica.

Kelab berpangkalan di Lisbon itu membuat keuntungan besar berbanding yuran 10 juta euro (RM46.69 juta) yang dibayar kepada kelab Argentina, River Plate pada musim panas 2022 sekali gus membuktikan kemampuan Benfica menggilap bakat pemain mereka.

Joao Felix dan Darwin Nunez dua lagi pemain berprofil tinggi yang dijual dengan harga tinggi oleh Benfica sejak beberapa bulan lalu menyaksikan Nunez menggantikan Felix yang berpindah ke Atletico Madrid.

Apabila Liverpool menandatangani Nunez pada musim panas lalu, Goncalo Ramos yang menggantikan tempat penyerang Uruguay itu sebagai peledak berbisa kini berada pada prestasi terbaik dalam kariernya.

Benfica merancang mengisi kekosongan Fernandez dengan pemain tengah mereka Chiquinho, 27, yang diturunkan dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan sejak pemergian Fernandez.

"Saya fikir dia sudah pun mengesahkan kemampuannya beraksi dalam perlawanan penting," kata jurulatih Benfica dari Jerman, Roger Schmidt.

"Dia menunjukkan semua kualitinya, kawalan bola, serba boleh, kapasiti fizikal dan dia melakukan tugas dengan sangat baik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:35 PM