PRESTASI bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dikatakan semakin menurun. FOTO Reuters
PRESTASI bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dikatakan semakin menurun. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Pada ketika harapan Liverpool memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) terjejas dengan keputusan seri 3-3 dengan Brighton, pemain termahal yang ditandatangani pada musim panas lalu, Darwin Nunez menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan sehingga minit ke-89.

Penyerang Uruguay itu yang dibeli dari Benfica dengan harga £66 juta (RM340.68 juta) menyaksikan dia kerap diketepikan daripada kesebelasan utama Jurgen Klopp pada beberapa bulan awal bersama Liverpool.

Liverpool hanya menang tiga daripada sembilan perlawanan awal dan kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal dan banyak yang perlu dilakukan untuk mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menanti kunjungan Rangers ke Anfield pada Selasa.

Nunez menjaringkan dua gol dalam dua penampilan awal apabila Liverpool menewaskan Manchester City pada aksi Perisai Komuniti dan seri 2-2 di Fulham pada perlawanan pembukaan EPL musim ini.

Tetapi, selepas itu dia gagal menjaringkan gol dan hanya bermula sekali selepas dibuang pada pada penampilan sulung di tempat sendiri kerana menanduk pemain pertahanan Crystal Palace, Joachim Andersen pada Ogos.

Jelas, potensi Nunez bukan isu tunggal perlu diselesaikan Klopp.

Dia menyifatkan penaklukan pemain Brighton ke atas jentera tengah Liverpool sebagai sesuatu yang dahsyat dan kekalahan 1-4 kepada Napoli pada aksi UCL bulan lalu sebagai pertunjukan seram.

Tumpuan kepada kelemahan aspek bertahan dipamerkan Trent Alexander-Arnold mengaburi penurunan prestasi dialami bek tengah, Virgil van Dijk.

Masih ada harapan buat Nunez bahawa dia mampu mengikut jejak Andy Robertson dan Fabinho yang memerlukan masa beberapa bulan sebelum menyesuaikan diri dengan kehendak Klopp, sebelum menjadi tonggak penting bagi jurulatih Jerman itu untuk kempen UCL dan EPL.

Tetapi, kegagalan penyerang berusia 23 tahun itu menunjukkan kepincangan Liverpool yang sentiasa bersaing dengan City untuk merebut gelaran EPL dan mara ke tiga final UCL dalam tempoh lima musim.

Sepanjang tujuh tahun Klopp di Anfield dan Pep Guardiola enam tahun mengemudi City, perbelanjaan Liverpool mendapatkan pemain baru kurang separuh berbanding juara Inggeris itu.

Walaupun hampir tiada pemain baru, mereka terus memburu trofi utama dan hampir memenangi empat piala ketika berbaki dua perlawanan terakhir daripada 63 perlawanan keseluruhan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 10:53 AM