PELATIH HKFC yang mengikuti program Football Campo. FOTO ihsan HKFC
PELATIH HKFC yang mengikuti program Football Campo. FOTO ihsan HKFC
Izzali Ismail


Sintok: Akademi Bola Sepak Hijau Kuning FC (HKFC) terus giat membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi di Kedah apabila menjalinkan kerjasama dengan kelab Divisyen Dua Sepanyol, CD Leganes.

Kolaborasi bersama kelab dari Sepanyol itu adalah usaha berterusan HKFC dalam membangunkan bakat muda bermula dengan lawatan ke pusat akademi bola sepak bernaung di La Liga, sejak Oktober tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HKFC, Khairul Amir Nadzim, menerusi kerjasama itu, pihaknya menjalankan program latihan Football Campo dari 6 hingga 9 Februari di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

"Program Football Campo disertai 30 pelatih muda HKFC berusia di antara 10 hingga 13 tahun dan diketuai Faissal Chehade yang juga jurulatih pembangunan remaja berpengalaman dari CD Leganes.

"Beliau akan bersama-sama jurulatih HKFC untuk membimbing pelatih ini menggunakan metodologi ala Sepanyol dan pada masa sama turut memberi tunjuk ajar kepada jurulatih HKFC.

"Pihak La Liga yang berkolaborasi dengan HKFC turut menghantar wakil mereka iaitu Adrian Prol Vazquez bagi memantau program dijalankan ini," katanya pada pelancaran Jelajah Asia HKFC 2023 di Pusat Islam UUM, petang semalam.

Pada masa sama, HKFC turut Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) bagi mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan pelajar dan meningkatkan ilmu kejurulatihan kepada guru terbabit.

HKFC bakal membawa 30 pelatih ke Sentul, Indonesia untuk mengikuti Jelajah Asia HKFC bermula 10 hingga 13 Februari ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan bersama kelab bola sepak ASIOP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:01 PM