AFP

Madrid: Valencia menamakan bekas jurulatih Itali Cesare Prandelli (gambar) sebagai jurulatih keempat mereka sepanjang tahun ini semalam dengan kontrak selama dua tahun.

“Valencia ingin memberitahu peminat mereka kelab ini berjaya mencapai persetujuan dengan Cesare Prandelli,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

“Jurulatih Itali itu dilantik sebagai jurulatih skuad utama hingga 30 Jun 2018.”

Prandelli tidak menggalas sebarang tugas sejak meninggalkan Galatasaray selepas empat bulan mengendalikan kelab itu pada 2014.

Jurulatih berusia 59 tahun itu mengemudi Itali ke final Euro 2012 sebelum tewas 0-4 kepada Sepanyol namun meletak jawatan selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2014.

Prandelli menonton perlawanan Valencia menentang Atletico Madrid semalam, namun pemangku pengurus Voro akan meneruskan tugas sebagai jurulatih buat kali terakhir selepas membantu Valencia menang dua perlawanan pertama mereka musim ini ke atas Alaves dan Leganes.

Pako Ayestaran dipecat bulan lalu selepas Los Che tewas empat perlawanan pertama La Liga mereka musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:47 AM