ESPANYOL (jersi biru) makin hampiri Barca. FOTO/AGENSI
ESPANYOL (jersi biru) makin hampiri Barca. FOTO/AGENSI
Reuters

MADRID: Espanyol melonjak ke tangga kedua saingan Liga Sepanyol selepas melakar kemengan 1-0 ke atas Athletic Bilbao, awal pagi tadi.

Penyerang Espanyol, Borja Iglesias muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada babak pertama bagi membolehkan kelab itu meraih tiga mata dalam usaha memberi tekanan kepada pendahulu liga, Barcelona.

Jurulatih Espanyol, Rubi masih mengekalkan rekod cemerlangnya sejak membimbing pasukan itu Jun lalu apabila menyaksikan anak buahnya kini mengumpul 21 mata selepas mengharungi 11 perlawanan, hanya ketinggalan tiga mata di belakang Barcelona.

Terdahulu, dalam perlawanan itu, Iglesias tidak mensia-siakan peluang apabila menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan Dida Vila pada minit ke-42 sekali gus membolehkan pasukannya merekodkan kemenangan kelima berturut-turut di laman sendiri.

Sementara itu, kekalahan menyaksikan Bilbao kekal di tangga ke-17 liga selepas mengharungi 10 perlawanan tanpa kemenangan.

Satu-satunya kemenangan yang diraih mereka adalah ketika minggu pertama musim ini dengan menewaskan Leganes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:35 AM