AKSI KDA FC ketika menentang Selangor di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO Ihsan KDA FC
AKSI KDA FC ketika menentang Selangor di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memperoleh pengajaran berharga meskipun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan sebelum tewas 5-6 melalui penentuan sepakan penalti kepada Selangor FC pada aksi pramusim Piala Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang khamis lalu.

Ketua Jurulatih KDA FC Nafuzi Zain berkata, meskipun gagal ke pentas final kejohanan pramusim itu, beliau bagaimanapun tetap berpuas hati apabila skuadnya menunjukkan peningkatan dalam beberapa aspek yang tidak didedahkannya dan ianya sudah mula diserapkan oleh pasukan yang baru dibentuknya pada musim ini.

"Saya tetap gembira dengan apa yang dilalui dan ditunjukkan pada perlawanan menentang Selangor FC khamis lalu dan saya nampak ada peningkatan dari segi beberapa aspek yang saya inginkan dalam perancangan saya untuk mempersiapkan pasukan.

"Dengan pasukan Kedah yang baharu ini, saya anggap bukan satu yang mudah untuk membentuk apa yang saya mahukan dalam masa yang singkat dan ianya memerlukan sedikit masa lagi, tetapi peningkatan yang ditunjukkan pemain dari masa ke semasa itu ada dan itu yang membuatkan saya rasa gembira.

"Kami sedang mencuba untuk beberapa perkara sebelum melengkapkan pasukan dan antaranya cuba membentuk tahap kecergasan yang sama dikalangan pemain pada masa ini, namun pada masa yang sama saya juga bersyukur tiada kecederaan berlaku walaupun permainan berada pada tahap intensiti tinggi," katanya.

Nafuzi juga berkata, melalui keputusan seri tanpa jaringan berdepan Selangor FC itu, banyak perkara dan pengajaran yang dapat dimanfaatkan oleh skuadnya selepas beraksi dalam perlawanan yang berintensiti tinggi.

"Walaupun mencatat keputusan seri, bagi saya itu tidak mengapa kerana kami bertemu pasukan yang kuat dan bagus seperti Selangor FC dan bukan mudah untuk berdepan Selangor ini dan mereka juga telah mencipta banyak peluang mendapatkan gol.

"Saya rasa ini satu perlawanan persahabatan yang bagus untuk kedua-dua pasukan dan kalau kita tengok pada keadaan perlawanan itu seolah-olah satu perlawanan Liga Super yang sebenar dan bukan perlawanan persahabatan yang biasa.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pada perlawanan ini dan setiap kesilapan yang ada dalam perlawanan ini bagus untuk kami pelajari dan ini penting untuk kami mengelak melakukan perkara itu di masa hadapan," katanya.

KDA FC akan meneruskan cabaran saingan Piala Harapan 2023 seterusnya dengan menentang Geylang International FC bagi penentuan kedudukan tempat ketiga dan keempat pada hari ini sementara Selangor FC pula akan berdepan Penang FC bagi penentuan juara dan tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:52 PM