NAFUZI bersama Skuad Kenari berlepas ke Turkiye. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI bersama Skuad Kenari berlepas ke Turkiye. FOTO Ihsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain bakal menilai kesebelasan utama Sang Kenari semasa tempoh latihan Jelajah Pramusim 2023 yang yang akan dilalui skuadnya di Antalya, Turkiye.

Menurut Nafuzi peluang kini terbuka kepada semua pemain untuk 'merebut' kesebelasan utama Sang Kenari yang belum dimuktamadkan lagi setakat ini.

"Kesebelasan utama setakat ini masih terbuka kepada setiap pemain kerana belum dipastikan lagi dan masih di tahap keserasian membabitkan gandingan antara pemain.

"Jadi saya berharap pemain dapat membuktikan kemampuan mereka dan peluang yang ada semasa tempoh latihan di Turkiye ini akan digunakan bagi menilai keseluruhan pasukan dan menentukan barisan kesebelasan utama musim ini.

"Manakala dari segi komitmen pada latihan dan perlawanan persahabatan yang dilalui sebelum ini, kita sudah nampak peningkatannya dan saya berpuashati dengan tahap yang ditunjukkan mereka setakat ini," katanya sebelum bertolak bersama pasukan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Hakim (LTSAH) Alor Setar ke Turkiye semalam.

Pengendali berusia 44 tahun ini juga berkata peluang beraksi dengan kelab dari luar negara seperti dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine pada tempoh Jelajah Pramusim di Turkiye ini juga memberi pengalaman yang berguna buat skuad yang baru dibentuknya pada musim ini.

"Beraksi dengan pasukan dan suasana yang berbeza memberi pengalaman yang lebih tinggi buat pasukan dan walaupun cuaca di Turkiye berbeza dengan cuaca kita, saya yakin pemain akan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

"Ini ruang yang lebih baik apabila kita dapat berjumpa dengan pasukan luar negara yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:49 PM