RONALDO (kiri) jauh ketinggalan di belakang Messi. FOTO AP
RONALDO (kiri) jauh ketinggalan di belakang Messi. FOTO AP
Agensi

London: Lionel Messi dipilih sebagai pemain bola sepak terbaik 2022 tetapi seteru utama, Cristiano Ronaldo tidak berada dalam senarai 50 pemain terbaik.

Messi, 35, menikmati tahun yang hebat apabila memenangi gelaran Ligue 1 dan menjulang Piala Dunia buat kali pertama.

Dia juga dinobatkan selaku pemain terbaik pada kejohanan berprestij yang berlangsung di Qatar itu.

Namun nasib Ronaldo jauh berbeza selepas melalui tahun yang sukar bersama Manchester United dan skuad kebangsaan Portugal.

Selepas digugurkan oleh Erik ten Hag dan gagal meninggalkan kelab itu, Ronaldo tampil pada temubual penuh kontroversi bersama dengan Piers Morgan.

Kontraknya di United kemudiannya ditamatkan dan Ronaldo memperoleh kontrak lumayan bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

Menerusi senarai 100 pemain bola sepak lelaki terbaik di dunia yang disenaraikan oleh Guardian, kedudukan antara Messi dan Ronaldo sangat jauh.

Ketika Messi menduduki tempat paling teratas, dua bintang Perancis, Kylian Mbappe dan Karim Benzema melengkapkan kedudukan tiga teratas.

Benzema memenangi Ballon d'Or selepas aksi cemerlangnya di Real Madrid pada tahun lalu manakala Mbappe membantu Perancis mara sehingga ke pentas final Piala Dunia Qatar.

Ronado pula menduduki tempat ke-51.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 7:03 PM