RONALDO ikat kontrak dengan Al Nassr sehingga 2025.
RONALDO ikat kontrak dengan Al Nassr sehingga 2025.
Reuters

London: Cristiano Ronaldo muncul atlet berpendapatan paling tinggi di dunia selepas gaji tahunannya meningkat dua kali ganda susulan perpindahan ke kelab Al Nassr manakala dua bintang Paris St Germain Lionel Messi dan Kylian Mbappe melengkapkan senarai tiga teratas, menurut Forbes.

Ronaldo yang menyertai kelab Arab Saudi dengan kontrak sehingga 2025 selepas meninggalkan Manchester United tahun lalu menerima bayaran $136 juta (RM606.42 juta) dengan Forbes berkata gaji tahunannya dianggarkan meningkat $75 juta (RM334.42 juta).

Kontrak Ronaldo dianggarkan media lebih daripada 200 juta euro (RM982.97 juta). Penyerang PSG, Messi, 35, di tempat kedua dengan $130 juta (RM579.67 juta) manakala rakan sepasukan yang juga kapten Perancis Mbappe -- pemain termuda dalam senarai 24 teratas meraih $120 juta (RM535 juta) di tempat ketiga. PSG dimiliki Qatar Sports Investments.

Pemain Los Angeles Lakers dan legenda NBA LeBron James ($119.5 juta (RM532.84 juta) dan jaguh tinju Mexico Canelo Alvarez ($110 juta (RM490 juta) menduduki lima teratas.

Penganjuran LIV Golf yang menarik perhatian beberapa pemain utama dunia dengan hadiah mega menyaksikan dua daripada pemain terbabit tersenarai dalam kelompok 10 teratas.

Bekas pemain nombor satu dunia Dustin Johnson (keenam dengan $107 juta RM477.10 juta) diikuti Phil Mickelson ketujuh dengan mengaut $106 juta (RM472.64 juta).

Juara empat kali NBA Stephen Curry ($100.4 juta (RM447.69 juta) dan pemain Phoenix Suns, Kevin Durant ($89.1 juta (RM397.30 juta) antara dua pemain bola keranjang yang turut tersenarai.

Bekas bintang tenis Roger Federer ($95.1 juta (RM424 juta) pemain tunggal yang sudah bersara menduduki kelompok 10 teratas.

Menurut Forbes pendapatan di atas padang termasuk semua hadiah wang tunai, gaji dan bonus diperoleh dalam 12 bulan terakhir manakala pendapatan luar padang berdasarkan kontrak penajaan, yuran penampilan, pendapatan lesen dan pulangan tunai hasil operasi bisnes pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 10:10 AM