ROBERTSON sah sertai Kedah. FOTO KDA FC
ROBERTSON sah sertai Kedah. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan pembentukan pasukan apabila mengumumkan pemain import terbaru, Alan Robertson untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Media KDA FC memaklumkan pemain pertahanan kelahiran Afrika Selatan berusia 28 tahun itu yang juga bekas ketua pasukan United City FC, menandatangani kontrak selama setahun bersama KDA FC dan mengisi barisan pertahanan skuad Liga Simpanan Kedah.

Selain itu Alan Robertson yang juga rakan sepasukan Amirbek Juraboev ketika bersama United City FC, dikatakan bakal menjadi calon pilihan terbaik buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk dinaikkan ke skuad utama yang beraksi dalam Liga Super musim ini.

"Selamat datang Alan Robertson ke bumi Jelapang Padi. Pemain yang berasal dari Afrika Selatan ini diikat selama setahun bersama Sang Kenari yang bakal mengisi slot pemain import di pasukan Liga Simpanan KDA FC untuk musim 2023.

"Beliau yang mewakili pasukan United City FC (Liga Filipina) pada musim lalu merupakan pemain yang beraksi di bahagian pertahanan.

"Dengan ketinggian 184 cm, dia dijangka menjadi dominan dengan perebutan bola tinggi dan sebagai pemain sokongan kepada pasukan Liga Super KDA FC dengan bakal tampil menggunakan jersi bernombor 5 untuk musim ini," katanya.

Pengalaman Alan yang pernah beraksi di Liga Filipina memberinya gambaran sebenar mengenai suasana bola sepak di rantau Asean.

"Pemain ini mendapati Liga Malaysia lebih kompetitif kerana sukan bola sepak dilihat lebih popular di negara ini dan dengan pengalamannya menjadi ketua pasukan United City FC menterjemahkan kualiti yang ada pada pemain ini," katanya.

Menerusi rekod kariernya dari 2013 hingga 2022, Alan menyertai University of Pretoria FC, AmaZulu FC, Stellenbosch FC dan United City FC sebelum bersama KDA FC pada musim 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 9:18 PM