ISU membabitkan gaji Kelantan FC masih belum selesai. -FOTO FB Kelantan FC
ISU membabitkan gaji Kelantan FC masih belum selesai. -FOTO FB Kelantan FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nilai jutaan ringgit dengan membabitkan hampir enam pasukan Liga Super adalah satu jumlah yang cukup tinggi babitkan isu tunggakan gaji yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sepanjang musim lalu.

Walaupun pengiraan tepat tentang jumlah sebenar kes tunggakan yang tidak didedahkan, namun difahamkan hampir RM10 juta atau mungkin lebih adalah nilai tunggakan gaji yang direkodkan sepanjang musim lalu sama ada membabitkan pemain tempatan, tonggak import mahupun jurulatih luar.

Daripada jumlah itu, Kelantan FC muncul 'juara' dengan hampir keseluruhan anggota pasukan itu terpalit dengan masalah berkenaan daripada awal musim sehinggalah rombakan pasukan di pertengahan liga, namun masih tetap berlaku tunggakan gaji.

Lima lagi pasukan yang pernah dilaporkan media mengalami isu sama adalah Kelantan United, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Sabah FC.

Begitupun daripada enam pasukan berkenaan, ada beberapa pasukan sudah menyelesaikan tunggakan membabitkan Sabah FC, Kelantan United dan NSFC.

Manakala Kelantan FC, KDA FC dan KL City difahamkan masih berdepan kemelut itu dengan tunggakan berkenaan kini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya biarpun sudah memasuki tahun baharu dengan pembukaan kalendar Liga M 2024 hanya berbaki tiga bulan lagi.

Mengulas perkara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, isu tunggakan gaji sudah menjadi barah yang cukup kronik dalam Liga M di mana hingga kini masih tiada penawar.

Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu lagi, kebanyakan pasukan masih tidak mengerti istilah ukur baju di badan sendiri meskipun peribahasa itu kerap diingatkan kepada pasukan saban tahun sebelum liga bermula.

"Sebenarnya tiada vaksin untuk 'penyakit' tunggakan gaji ini. Sebenarnya mudah saja kalau pasukan ukur baju di badan sendiri. Tapi apabila hasrat melebihi kemampuan, itulah yang berlaku.

"Jadi kebimbangan sudah pastinya untuk musim baharu yang akan bermula pertengahan tahun ini. Jika tunggakan tahun lalu pun tak selesai, macam mana nak harungi musim baru pulak.

"Saya harap pasukan-pasukan jangan lah berbelanja di luar kemampuan. Contohi macam Penang FC, saya dengar mereka cuma nak ambil tiga saja pemain import daripada sembilan yang dibenarkan.

"Lepas itu letak sasaran realistik, kalau di pertengahan liga pun tak mengapa daripada terjebak ke lembah masalah gaji," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kemelut tunggakan gaji Liga M terus menjadi-jadi apabila dilaporkan pemain KDA FC masih belum menerima pembayaran gaji yang sangkut sejak empat bulan lalu.

Malah, pemain KL City juga berdepan masalah sama selain Kelantan FC pula sudah menerima hukuman apabila tidak diberikan Lesen Kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:40 PM