DENNIS Buschening pernah beraksi bersama Sabah. FOTO MFL
DENNIS Buschening pernah beraksi bersama Sabah. FOTO MFL
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengukuhkan barisan serangannya apabila mengikat pemain import kuota Asean, Dennis Buschening untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini.

Perkembangan itu diumumkan oleh media rasmi KDA FC hari ini sekali gus menjadikan pemain berusia 30 tahun yang juga pemain kacukan Thailand-Jerman itu sebagai pemain import ketiga disahkan setakat ini.

"KDA FC dengan ini mengumumkan pemain import baharu untuk musim 2022, Dennis Buschening dan dengan pengumuman ini, Dennis Buschening akan mengisi slot pemain import kuota Asean untuk pasukan KDA FC.

"Dennis Buschening dilahirkan di Jerman dan memiliki kerakyatan Thailand, memulakan kerjaya bola sepak remajanya di Borussia Dortmund sebelum beraksi dengan beberapa kelab di Liga Jerman," katanya.

Beraksi di posisi serangan, Buschening bukan lagi asing dalam kancah Liga M kerana dia pernah bersama Sabah pada musim 2020 sebelum menyertai skuad UiTM FC tahun lalu.

"Dua musim lalu Buschening beraksi mewakili Sabah dan UiTM FC dan aksinya mencuri perhatian pemerhati bola sepak melalui beberapa gol cantik yang dihasilkan termasuklah ketika beraksi menentang KDA FC," katanya.

Buschening memiliki pengalaman menarik bermula dengan penyertaannya bersama skuad bawah 17 (B-17) Jerman seawal 2006 dan kemudian menyertai skuad remaja Borussia Dortmund bermula 2007 hingga 2008 selain pernah beraksi dalam Liga Thailand bersama Buriram United dari 2013 hingga 2014.

Pemain itu juga menyertai beberapa kelab bola sepak Thailand, antaranya Police Teri, Army United, Siam Navy, Angthong FC, Chainat Hornbill FC sebelum menyertai Sabah.

Dengan penyertaan Buschening bersama KDA FC, skuad Hijau Kuning bakal melengkapkan dua lagi pemain import yang dijangka akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 2:47 PM