MOHD Daud yakin KDA FC mampu memberi cabaran hebat musim ini.
MOHD Daud yakin KDA FC mampu memberi cabaran hebat musim ini.
Hadzlan Hassan


Kuala Lumpur: Bahang liga bola sepak tempatan nyata kian membara dalam kalangan peminat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila sembilan pemain import dilengkapkan pasukan itu.

Dengan membiarkan teka-teki dalam kalangan peminat pasukan berkenaan, pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar nyata optimis dengan kemampuan pasukan Sang Kenari.

Menurutnya, secara peribadi beliau percaya Sang Kenari akan bertambah garang dan bakal muncul antara empat pasukan terbaik dalam kancah Piala Malaysia.

"Kita sudah melakukan persiapan awal serta melakukan yang terbaik dan saya melihat perkembangannya sangat positif.

"Selepas mereka pulang dari Turkiye baru-baru ini, saya melihat semangat berpasukan dalam KDA FC lebih menjurus kepada semangat kekeluargaan bukan lagi setiakawan.

"Itulah yang kita mahukan, skil serta teknik dalam padang dan semangat kekeluargaan...sebelum ini kita tidak melihat semangat seperti itu," katanya kepada Arena Metro.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Urusan Baharu Kabgoldynamic Sdn Bhd, di ibu negara semalam.

Majis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Khairul Anuar Basri.

Ditanya mengenai butiran pertemuannya dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini sama ada berkaitan pembangunan bola sepak Kedah atau sebaliknya, beliau berkata, pelbagai langkah sedang disusun ke arah itu.

Beliau berkata, tahun ini pasukan Kedah akan tampil sesuai dengan resam padi dan semua sembilan pemain import diambil akan bermain dalam pasukan utama dan pasukan kedua.

"Semuanya ikut keperluan dan perancangan pasukan kejurulatihan, tak semua akan bermain dalam pasukan utama," katanya.

Setakat ini, tujuh pemain import sudah diikat pasukan berkenaan iaitu Amirbek Jurabaev dari Tajikistan, Manuel Ott (Filipina), Alan Robertson (Afrika Selatan), Manuel Hidalgo (Argentina), Bojan Ciger (Serbia), Willian Lira (Brazil), dan Jonathan Balotelli (Brazil).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 9:57 PM