Daripada Zulfaizan Mansor


Hanoi: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menegaskan bahawa dia sudah bersedia untuk berdepan rakan senegaranya, Park Hang Seo pada pertembungan dengan Vietnam di Stadium My Dinh, esok.

Mengakui pengendali Vietnam itu lebih berpengalaman, Pan Gon bagaimanapun berharap barisan pemainnya memberikan aksi terbaik untuk mendapatkan keputusan positif pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala AFF 2022.

Malah, dia tidak menafikan keupayaan tinggi Hang Seo yang berjaya memacu pasukan kebangsaan Vietnam untuk berada pada tahap terbaik sejak dilantik sebagai jurulatih pada 2017.

"Dia (Hang Seo) jurulatih yang sangat dihormati dan rakyat Korea Selatan juga menghormatinya. Dia jurulatih lebih senior dan satu penghormatan untuk berdepan dengan dia, apa pun kami akan cuba dapatkan keputusan terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aksi berdepan Vietnam menjadi pertembungan sulung Pan Gon sebagai jurulatih Harimau Malaya walaupun kedua-dua individu itu pernah beberapa kali bertembung sebelum ini.

Malaysia kini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Myanmar 1-0 dan Laos 5-0 dalam dua aksi sebelum ini, manakala Vietnam yang baru beraksi sekali di kedudukan kedua dengan tiga mata.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan bahawa cuaca sejuk di Hanoi tidak menjadi masalah besar buat barisan pemainnya untuk meneruskan persembahan terbaik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Katanya, fokus utama Harimau Malaya ketika ini adalah untuk mendapatkan tiga mata berdepan Vietnam bagi membuka peluang lebih baik ke separuh akhir.

"Ia (berdepan Vietnam) akan menjadi salah stau perlawanan yang sukar buat kami, tapi kami sudah memberikan aksi yang terbaik dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Kami sudah ada pengalaman mengharungi perlawanan besar dan situasi sukar, kami yakin kami kuat untuk berdepan Vietnam," katanya.Selepas Vietnam, Harimau Malaya akan mengharungi aksi terakhir kumpulan berdepan pasuakn jiran, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Januari ini.

PAN-gon dan Shahrul ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa  Malaysia dan Hong Kong, esok. FOTO Bernama
PAN-gon dan Shahrul ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia dan Hong Kong, esok. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:05 PM