BAKRI IBNI
BAKRI IBNI
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mempertikaikan taktikal pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sekali gus menyumbang kepada kekalahan 0-2 kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Jumaat lalu.

Menurut Bakri, kekalahan pertama dalam saingan Kumpulan A kempen Piala AFF 2018 itu sebenarnya boleh dielakkan jika Cheng Hoe menekankan aspek bertahan daripada menggunakan strategi menyerang.

Apatah lagi katanya, skuad Harimau Malaya kendaliannya hanya hadir selaku pasukan pelawat di Hanoi.

“Kalau ada mekanisma pegang bola 20 sentuhan boleh dapat satu gol, saya kira Malaysia boleh menang besar malam itu,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

“Vietnam bukanlah kuat mana pun, mereka juga sebenarnya takut untuk berdepan kita. Ia dapat dilihat apabila mereka lebih menggunakan taktikal bertahan dengan sesekali menyerang balas ke kubu negara.

“Perkara yang menghairankan saya ialah kenapa kita selaku pasukan pelawat pula yang menyerang, sedangkan biasanya pasukan tuan rumah yang akan menyerang untuk mendapatkan gol.

“Tetapi malam itu, terbalik, kita pula menyerang dan Vietnam bertahan. Sepatutnya jurulatih kita mengarahkan permainan tertutup supaya penyerang Vietnam tidak dapat bergerak.

“Dan kita pula mengharapkan serangan balas seperti mana yang pernah dilakukan pasukan Dollah Salleh empat tahun lalu,” katanya.

Pada edisi 2014, skuad negara yang dibimbing Dollah berjaya mengejutkan skuad The Golden Dragons di Hanoi apabila melakar kemenangan 4-2 pada separuh akhir kedua untuk mara ke final menerusi agregat 5-4.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat skuad Cheng Hoe mengulangi pencapaian itu gagal apabila Vietnam meraih gol dalam setiap babak menerusi percubaan Nguyen Cong Phuong (minit ke-12) dan Nguyen Anh Duc (minit ke-60).

“Sejak dulu lagi, penyerang Vietnam memang laju macam lipas kudung. Apabila kita tahu penyerang lawan laju, tindakan pertama yang akan diambil ialah kecilkan ruang buat mereka untuk berlari ke depan.

“Tetapi dalam perlawanan kali ini tidak. Pertahanan kita terutamanya kiri dan kanan naik terlalu tinggi dan akhirnya membuka ruang buat penyerang Vietnam untuk bergerak.

“Akhirnya mereka dapat gol, walaupun sebenarnya kita lebih banyak menguasai bola,” katanya yang membawa Malaysia mara ke temasya Sukan Olimpik 1980.

Kekalahan pertama selepas menang 1-0 ke atas Kemboja dan 3-1 dengan Laos itu meletakkan Malaysia dalam misi wajib menang ke atas Myanmar yang kini menduduki tangga teratas kumpulan, namun berkongsi enam mata bersama Vietnam dan Malaysia.

Aksi terakhir skuad negara berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 1:01 PM