BARISAN pemain Maghribi sujud syukur selepas aksi separuh akhir bertemu Perancis. FOTO AFP
BARISAN pemain Maghribi sujud syukur selepas aksi separuh akhir bertemu Perancis. FOTO AFP
Agensi

Doha: Legenda bola sepak Jerman, Karl-Heinz Rummenigge menyertai senarai tokoh yang benar-benar kagum dan terinspirasi dengan prestasi Maghribi pada Piala Dunia Qatar.

Rummenigge, yang juga berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Bayern Munich, menyeru pasukan kebangsaan Jerman untuk belajar dan mendapat manfaat daripada kisah inspirasi Maghribi di Piala Dunia.

Bekas penyerang itu menekankan keperluan untuk pasukan kebangsaan Jerman menunjukkan 'lebih semangat' apabila beraksi di Kejohanan Eropah 2024 dan merampas semula status Jerman selaku antara pasukan terbaik dan paling dihormati di dunia.

Kecewa dengan penyingkiran awal Jerman di Qatar, Rummenigge berkata lembaga penasihat yang ditubuhkan persekutuan bola sepak negara itu berikutan penyingkiran awal pasukan kebangsaan di Qatar perlu mencari jalan penyelesaian terbaik.

Rummenigge adalah sebahagian daripada ahli lembaga penasihat berkenaan bersama beberapa legenda bola sepak Jerman, termasuk Olivier Kan, Rudi Voller, dan Matthias Sammer.

"Kami perlu menetapkan agenda dan kemudian melihat apa yang diharapkan daripada pasukan," katanya.

Pencapaian luar biasa Maghribi di Piala Dunia Qatar menerima pujian meluas dan mencetuskan inspirasi.

Pasukan kebangsaan Maghribi mencipta sejarah di Qatar apabila muncul negara Afrika dan Arab pertama yang layak ke separuh akhir.

Walaupun Maghribi tewas pada aksi separuh akhir di tangan Perancis, penyokong dan pemerhati melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian Atlas Lions.

Menerusi mesej yang menyentuh hati kepada peminat, bintang bola sepak Maghribi, Achraf Hakimi berkata bahawa pasukan kebangsaan Maghribi sudah memberikan segala-galanya.

"Impian sebuah pasukan, seluruh negara sudah berakhir, tetapi kami harus berbangga dengan apa yang telah kami lakukan.

"Kami akan terus mencuba dan memberikan yang terbaik untuk negara ini. Terima kasih kepada semua warga Maghribi atas sokongan kepada kami. Kami sayang anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 9:55 AM