MUELLER (kanan) masih lagi berminat menyarung jersi Jerman. FOTO EPA
MUELLER (kanan) masih lagi berminat menyarung jersi Jerman. FOTO EPA
AFP

Wolfsburg: Jurulatih Jerman, Hansi Flick berkata penyerang veteran, Thomas Mueller akan diketepikan daripada skuad untuk perlawanan persahabatan menentang Peru dan Belgium bulan ini untuk memberi peluang kepada pemain muda.

Bercakap kepada majalah sukan Jerman, Kicker, Flick berkata tindakan itu tidak bermakna Mueller tiada dalam skuad Euro 2024 yang menyaksikan Jerman akan menjadi tuan rumah.

"Thomas Mueller tidak akan terbabit dalam dua perlawanan seterusnya," kata Flick.

"Ia sudah dibincangkan dengannya. Saya mahu memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain bersama pasukan kebangsaan."

Jerman akan menentang Peru di Mainz pada 25 Mac dan kemudian berdepan Belgium di Cologne tiga hari kemudian.

Mueller, 33, bermain di Piala Dunia keempatnya tahun lalu dan dikritik kerana prestasinya di Qatar tetapi berkata selepas kejohanan itu dia tidak akan berundur daripada tugasan antarabangsa.

"Selagi saya seorang pemain bola sepak profesional, saya akan sentiasa bersedia untuk pasukan kebangsaan jika saya diperlukan," kata Mueller.

Selain memberi lebih banyak pengalaman kepada pemain muda menjelang Euro 2024, Flick berkata langkah itu akan menambat semula hati peminat Jerman berikutan dua kali berturut-turut tersingkir di peringkat kumpulan di Piala Dunia.

"Perkara yang paling penting ialah kami menunjukkan bola sepak yang bagus, bola sepak yang bersemangat. Apabila peminat melihat bahawa kami memberikan segala-galanya untuk bermain dengan Jerman dan kami bermain dengan hati, suasana boleh berubah dengan cepat sekali lagi.

"Apabila Jamal Musiala atau Florian Wirtz berada di dalam skuad, rungutan itu akan kembali hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:11 PM