CONTOH lilitan OneLove yang dipakai oleh Kane pada saingan Liga Negara-Negara, September lalu. FOTO AFP
CONTOH lilitan OneLove yang dipakai oleh Kane pada saingan Liga Negara-Negara, September lalu. FOTO AFP
AFP

Doha: England, Jerman dan lima lagi pasukan Eropah di Piala Dunia melupakan rancangan untuk memakai lilitan lengan bertemakan pelangi bagi menyokong hak lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) kerana bakal berdepan tindakan disiplin oleh Fifa.

Belgium juga berkata bahawa badan induk bola sepak itu tidak akan membenarkan mereka menggunakan kit kedua berwarna pelangi dengan perkataan 'Cinta' di kolar.

Lilitan khas itu adalah sebagai simbolik protes terhadap tuan rumah, Qatar yang menganggap homoseksualiti adalah haram.

"Fifa sangat jelas akan mengenakan hukuman jika kapten kami memakai lilitan di atas padang," kata tujuh pasukan dalam satu kenyataan bersama.

Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Bernd Neuendorf menggelar pendirian Fifa sebagai 'peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah Piala Dunia'.

Di bawah peraturannya, pemain yang memakai kit yang tidak dibenarkan oleh Fifa boleh dilayangkan kad kuning.

Jika pemain itu kemudian dilayangkan kad kuning kedua, mereka akan dibuang padang.

Lilitan lengan 'OneLove' yang pada asalnya mahu dipakai oleh kapten England, Harry Kane dan Manuel Neuer dari Jerman, direka sebagai sebahagian daripada kempen untuk mempromosikan LGBTQ.

"Sebagai persekutuan kebangsaan, kami tidak boleh meletakkan pemain kami dalam kedudukan di mana mereka boleh berdepan hukuman, jadi kami meminta kapten supaya tidak memakai lilitan lengan berkenaan dalam perlawanan Piala Dunia Fifa," jelas kenyataan bersama persekutuan England, Wales, Belgium, Denmark, Jerman, Belanda dan Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:38 AM