Oliver Bierhoff. FOTO File AFP
Oliver Bierhoff. FOTO File AFP
Reuters

Doha: Pengarah pasukan Jerman, Oliver Bierhoff menjadi 'korban' pertama selepas penyingkiran skuad kebangsaan negara itu di pusingan pertama Piala Dunia di Qatar apabila bersetuju melepaskan jawatannya dua tahun lebih awal sebelum kontrak tamat.

Bierhoff yang juga bekas pemain kebangsaan Jerman, sudah memegang jawatan pengarah pasukan sejak 18 tahun lalu.

Dia dikritik hebat susulan penyingkiran mengejut mereka di peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia.

"Oliver Bierhoff memenangi pelbagai pencapaian untuk DFB. Sekalipun jika beberapa kejohanan terakhir agak ketinggalan daripada matlamat sukan yang ditetapkan, dia tetap akan dikaitkan dengan detik besar." kata Presiden DFB, Bernd Neuendorf dalam satu kenyataan.

Bierhoff memainkan peranan penting membantu Jerman memenangi gelaran terakhir daripada empat kejuaraan Piala Dunia iaitu pada 2014 dan Neuendorf berkata usaha gigihnya tidak akan dilupakan.

"Dia akan sentiasa dikaitkan dengan kejayaan pada Piala Dunia di Brazil. Walaupun dalam masa bergolak dia sentiasa mengikuti matlamat dan visi." tambahnya.

Jerman tersingkir daripada kejohanan di Qatar selepas tewas kepada Jepun, seri berdepan Sepanyol dan menewaskan Costa Rica pada aksi terakhir mereka dalam saingan Kumpulan E. Sepanyol dan Jepun mara ke pusingan kedua daripada kumpulan itu.

Jerman juga tersisih pada Piala Dunia 2018 pada peringkat sama - ketika mereka mencatat penyingkiran tercepat dalam tempoh 80 tahun.

Mereka juga gagal mara ke pusingan kedua di Euro 2020 tahun lalu.

Jurulatih Jerman, Hansi Flick, yang mengambil alih tugas berkenaan selepas Euro tahun lalu berkata pemergian Bierhoff satu tamparan besar buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 9:22 PM