Agensi

Doha: Louis van Gaal berkata, dia menghidu kelemahan Lionel Messi dan mahu Belanda memanfaatkannya ketika menentang Argentina dalam aksi suku akhir Piala Dunia awal pagi Sabtu ini.

Belanda menduduki tangga teratas Kumpulan A mengatasi Senegal dan menewaskan Amerika Syarikat 3-1 dalam aksi 16 terakhir di Stadium Antrabangsa Khalifa.

Manakala Argentina bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Arab Saudi dengan menewaskan Mexico dan Poland untuk muncul juara Kumpulan C.

Juara Copa America 2021 itu kemudiannya menewaskan Australia 2-1 di Stadium Ahmad bin Ali dalam saingan kalah mati dengan Messi meledak gol pertama Argentina.

Belanda akan berdepan Argentina awal pagi Sabtu ini di Stadium Lusail dengan pemenang akan bertemu Croatia atau Brazil di separuh akhir.

Messi yang dijangka beraksi pada Piala Dunia terakhirnya menyinar bersama Argentina dan meledak tiga gol dan mencipta satu bantuan jaringan setakat ini.

Pengurus Argentina, Lionel Scaloni pastinya mengharapkan sentuhan berbisa pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu ketika berdepan skuad Van Gaal.

Van Gaal yang dikritik susulan gaya permainan Belanda menganggap Messi sebagai pemain bahaya yang kreatif dan masih mampu mengancam pertahanan pertahanannya.

Namun pengurus Belanda itu sudah mengenal pasti kelemahan kapten Argentina itu ketika skuadnya kehilangan bola dan lawan pula menguasai perlawanan.

Bercakap kepada NOS, Van Gaal berkata: "Messi pemain kreatif paling bahaya. Dia mampu mencipta banyak peluang dan menjaringkan banyak gol.

"Tetapi apabila kehilangan bola dan lawan menguasainya pula, dia kurang mengambil bahagian dan ini bakal memberikan kami peluang mengeksploitasinya."

"Saya fikir kami mempunyai peluang baik di sini. Ada tiga lagi perlawanan lagi. Saya memperkatakannya sejak sekian lama bahawa kami mampu muncul juara dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 12:33 PM