FORESTIERI sangat gembira dan berterima kasih kepada semua. FOTO ASWADI ALIAS.
FORESTIERI sangat gembira dan berterima kasih kepada semua. FOTO ASWADI ALIAS.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, Fernando Forestieri mengakui kejuaraan keempat dalam semusim bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) cukup indah buatnya selama bergelar pemain profesional.

Forestieri, 32, yang pernah beraksi dengan beberapa kelab Eropah termasuk di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Watford dan Sheffield Wednesday dinobatkan selaku pemain terbaik pada final Piala Malaysia, dengan dia turut meledak satu gol buat menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Katanya, dia gembira berada di JDT kerana kelab itu cukup bersistematik serta menjaga kebajikan pemain dengan baik sekali gus membuatkan barisan pemain sentiasa mahu berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua yang menjadikan kejuaraan ini satu kenyataan kerana semua dari kami bekerja keras dan cuba memperbaiki beberapa perkara yang tidak memuaskan hati kami.

"Terima kasih kepada jurulatih dan juga staf di kelab ini. Kita berjaya memenangi kesemua piala yang dipertandingkan.

"Ia adalah musim yang menakjubkan buat semua pemain yang sudah bekerja keras sejak dari awal. Jurulatih hanya menyatakan arahan apa yang hendak lakukan dan begitu juga kami memahami apa yang jurulatih mahukan.

"Musim ini sangat menakjubkan. Saya gembira di JDT kerana ia memudahkan kehidupan saya di luar padang.

"Apabila kebajikan saya dijaga, mudah untuk saya tumpukan perhatian di dalam padang dan kini kami akan mula fokus kepada sesi pramusim," katanya.

Selain menjulang Piala Malaysia, skuad Harimau Selatan turut memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini.

Mengulas mengenai aksi di Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan, Forestieri akui JDT perlu melipat gandakan usaha kerana saingan tertinggi Asia itu berada pada kelas yang berbeza.

"Sudah tentu kami mahu memenangi kesemua piala yang kami sertai kerana kami adalah JDT. Pada aksi ACL musim ini, kami berjaya membuktikan kami mampu menang di tempat sendiri dan kini kami perlu bekerja lebih kuat kerana ACL adalah pentas yang sangat berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 5:30 PM