STADIUM Sultan Ibrahim yang menjadi gelanggang keramat JDT. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
STADIUM Sultan Ibrahim yang menjadi gelanggang keramat JDT. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas didominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) selama sedekad, nampaknya saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka kembali meriah apabila semua pasukan ada peluang untuk merebut kejuaraan domestik.

Ia selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kelab itu mahu dilabel sebagai pasukan 'underdog' apabila kempen musim baharu bermula pertengahan tahun ini.

Katanya, pengurangan bajet hampir 40 peratus bagi saingan 2024-2025 itu bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan bakal tampil dengan skuad 'biasa-biasa' sahaja.

"Bajet kelab telah dikurangkan sebanyak 40 peratus. Era menjadi pasukan bukan pilihan," tulis Tunku Ismail di laman sosial miliknya.

Sepanjang 10 tahun lalu, JDT cukup ampuh dalam saingan Liga M apabila memenangi trofi Liga Super selama 10 musim berturut-turut.

Selain itu, kelab yang dijenamakan daripada Johor FC pada 2013 kepada JDT itu turut 'menguasai' Piala Malaysia sebanyak empat kali (2017, 2019, 2022, 2023), Piala FA tiga kali (2016, 2022, 2023) dan Piala Sumbangsih lapan kali (2015, 2016, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022, 2023).

Kelab itu turut memahat sejarah selaku pasukan pertama dari Asia Tenggara menjuarai Piala AFC pada 2015 serta cukup konsisten layak beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dari 2019 hingga 2023.

Dalam entri sama, beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut mengucapkan terima kasih kepada bekas penyerang JDT, Fernando Forestieri yang tidak lagi bersama pasukan itu.

"Terima kasih Fernando Forestieri. Kamu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kelab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 4:17 PM