GUARDIOLA menyambung kontrak dua tahun lagi bersama Manchester City. FOTO AFP
GUARDIOLA menyambung kontrak dua tahun lagi bersama Manchester City. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menandatangani sambungan kontrak dua tahun yang menyaksikan dia akan berada bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga 2025, umum kelab itu, hari ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengemudi City memenangi empat gelaran liga, empat Piala Liga dan Piala FA sejak menyertai mereka pada 2016 dan kontrak lamanya akan berakhir pada musim panas ini.

"Saya gembira apabila pengembaraan Pep bersama Manchester City akan diteruskan," kata Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak menerusi kenyataan.

"Sumbangan dan kejayaannya terlalu banyak setakat ini dan memang menarik untuk membayangkan masa depan dengan tenaga, kesungguhan dan cita-cita yang jelas dimilikinya."

Tempoh Guardiola bersama City adalah paling lama di satu kelab sejak dia bermula dalam karier pengurusan pada 2008.

"Saya gembira akan kekal di Manchester City untuk dua tahun lagi," kata Guardiola.

"Saya tahu babak baru bagi kelab ini akan lebih menakjubkan pada dekad berikutnya. Ia berlaku sejak 10 tahun lalu dan akan berterusan untuk 10 tahun akan datang kerana kelab ini sangat stabil.

"Sejak hari pertama, saya merasakan sesuatu yang istimewa di sini. Saya tidak boleh berada di tempat yang lebih baik."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 8:55 PM