ANGELINO teruja sertai City.
ANGELINO teruja sertai City.
AFP

MANCHESTER City menandatangani semula pertahanan Sepanyol, Angelino dari PSV Eindhoven selepas juara Liga Perdana itu mengaktifkan klausa belian balik £5.3 juta (RM27 juta).

Angelino meninggalkan City tahun lalu tetapi pengurus, Pep Guardiola tertarik dengan prestasinya di Belanda dan mahu membawanya semula ke Stadium Etihad.

Pemain berusia 22 tahun itu mengikat kontrak empat tahun dan akan bersaing dengan Oleksandr Zinchenko dan Benjamin Mendy untuk posisi pertahanan kiri.

"Saya amat teruja sertai kembali City, pasukan yang beraksi hebat di bawah kendalian Pep,” kata Angelino dalam laman web kelab.

"Prestasi City dalam dua musim lalu sangat menakjubkan dan saya sangat gembira dapat kembali dan menyumbang tenaga untuk meraih lebih banyak kejayaan.

"Saya yakin permainan saya akan berkembang di bawah kendalian Pep dan percaya City akan bertambah kuat dalam masa beberapa tahun lagi.”

Angelino menyertai City dari akademi belia Deportivo La Coruna pada 2013, melakukan tiga penampilan sebelum dipinjamkan ke beberapa kelab seperti New York City, Girona, Mallorca dan NAC Breda.

Angelino menyertai PSV musim lalu dan tampil dalam 34 aksi liga, menjaringkan satu gol dan 10 bantuan gol.

Dia juga beraksi cemerlang dalam semua enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Tottenham dan Inter Milan.

Pengarah Bolasepak City, Txiki Begiristain berkata: "Angelino pemain muda sangat berbakat dan berpotensi menjadi pertahanan yang mantap. Dia mendapat banyak pengalaman beraksi di Eredivisie dan Liga Juara-Juara bersama PSV Eindhoven. Kami yakin dia mampu memperkasakan bahagian pertahanan kelab ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:45 AM