CITY yakin Guardiola mampu bawa pasukan kecapi lebih kejayaan. FOTO/AFP
CITY yakin Guardiola mampu bawa pasukan kecapi lebih kejayaan. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengerusi Manchester City yakin kelab itu akan mencapai kejayaan lebih gemilang di bawah kendalian Pep Guardiola walapun baru sahaja mencipta rekod liga.

City muncul juara Liga Perdana pertama meraih 100 mata dan merangkulnya dengan bergaya. Meninggalkan jauh pencabar terdekat, Manchester United dengan 19 mata di tempat kedua.

Selepas Guardiola menandatangani kontrak baru, pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak menjangkakan lebih banyak kejayaan dicapai di bawah kendalian pengurus Catalan itu.

“Harapan saya dan pengurusan termasuklah Pep sudah pasti kami mahu pasukan teruskan momentum cemerlang. Tak boleh terhenti setakat ini,” kata Khaldoon kepada City TV.

“Kami mempunyai jurulatih atau pengurus. Tidak ada perkataan relaks. Itu jaminan saya. Kami akan kembali dengan lebih agresif dan terus gemilang.”

City menjuarai tiga kejuaraan liga sejak Abu Dhabi United Group yang dimiliki Sheikh Mansour mengambil alih kelab pada 2008

Bagaimanapun, mereka gagal menjuarainya dua tahun berturut-turut dan Liga Juara-Juara masih lagi menghantui pasukan itu.

Khaldoon berkata: “Kami bekerja keras sejak beberapa tahun lalu untuk membangunkan kelab ini, bukan sahaja musim ini malah untuk musim akan datang. Ini adalah skuad muda dengan kebanyakan pemain berbakat kami berusia di bawah 26 tahun.”

Menurut Khaldoon, kontrak baru dua tahun Guardiola yang juga bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich memastikan dia kekal di Eastlands sehingga 2020/21.

“Pep sangat gembira menjadi sebahagian daripada kelab ini. Kami bersemuka, bersalaman dan teruja meneruskan perjalanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:09 AM