PEMAIN KL City memanaskan badan ketika sesi latihan hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
PEMAIN KL City memanaskan badan ketika sesi latihan hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur "Siapa yang tak datang ke Bukit Jalil (Stadium Nasional Bukit Jalil) ini rugilah, sebab belum tentu lagi untuk tahun depan pasukan kita masuk final."

Demikian luahan tonggak tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan yang menyeru penyokong setia KL turun beramai-ramai memberi sokongan pada final Piala AFC bertemu Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jelas Akram, sokongan padu penyokong sememangnya ditagih bagi menaikkan moral dan motivasi pemain sepanjang aksi itu.

Katanya, dengan kehadiran ribuan penyokong, mungkin KL City mampu membuat kejutan seperti mana dilakukan ketika memenangi Piala Malaysia menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim lalu.

"Tahun lepas pun kami dah jadi juara Piala Malaysia edisi ke-100, dan ramai orang terkejut. Kali ini final Piala AFC, mungkin kalau siapa yang tak datang ke Bukit Jalil ini rugilah, sebab kita belum tentu lagi untuk tahun depan boleh ulanginya lagi.

"Peluang yang ada pada Sabtu ini yang memang sah kami masuk final, dan kami perlukan sokongan orang-orang KL yang mana, penyokong-penyokong yang dah lama tak pergi ke stadium itu saya harap datang sokong kami.

"Kami rindu (sokongan penyokong) walaupun tak dapat main di stadium Cheras disebabkan masalah teknikal, tadi saya harap satu keajaiban kalau stadium (Bukit Jalil) itu penuh dan orang ramai datang sokong kami," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Skuad kendalian Bojan Hodak dalam laluan melakar sejarah unik muncul juara Piala AFC dalam penampilan sulung di pentas kedua tertinggi kelab-kelab Asia itu, selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Jika menang, KL City akan mengikut jejak JDT yang menjadi kelab pertama dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara memenangi trofi itu pada 2015 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:56 PM