HODAK perlu mencari ‘magis’ untuk menaikkan semula motivasi para pemain. FOTO HAZREEN MOHAMAD
HODAK perlu mencari ‘magis’ untuk menaikkan semula motivasi para pemain. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak akui beliau memerlukan keajaiban untuk membangkitkan semula 'mood' dan motivasi pemain menjelang aksi pertama Piala Malaysia berdepan PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Khamis ini.

Jelas Hodak, kekecewaan nyata menyelubungi anak buahnya selepas tewas 3-0 kepada kelab Oman, Al Seeb dalam final Piala AFC pada Sabtu lalu yang bakal mengganggu emosi setiap pemain.

Katanya, bukan mudah untuk memulihkan semangat pemain yang jelas kecewa di atas kekalahan itu.

Malah, status selaku juara bertahan Piala Malaysia juga memberi sedikit tekanan namun Hodak akan cuba sedaya upaya sambil mengharapkan 'magis' untuk meraih keputusan positif ke atas PDRM.

"Untuk perlawanan selepas ini bertemu PDRM saya perlu mencari 'magis' untuk menaikkan semula motivasi para pemain.

"Saya berharap ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana ia akan menentukan bagaimana kami bangkit selepas kekalahan," kata Hodak.

Untuk rekod, KL City adalah juara bertahan selepas memenangi Piala Malaysia pada musim lalu.

Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu itu, skuad The City Boys berjaya menundukkan pasukan gergasi iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 2-0, sekali gus menamatkan badi 32 tahun untuk menjulang trofi dalam final edisi ke-100 tahun itu.

Selain itu, Hodak turut berharap penyokong KL City turun beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada pemainnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 2:34 PM