JURULATIH Melaka, Zainal Abidin Hassan mengendalikan sesi latihan pasukan.
JURULATIH Melaka, Zainal Abidin Hassan mengendalikan sesi latihan pasukan.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Menjelang tidak sampai 24 jam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Melaka United (MU) berdepan Kuala Lumpur FC (KL City) rata-rata warga Melaka mahu melihat pasukan itu melangkah ke final buat pertama kali selepas 100 tahun.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United Football Club (MUFC), Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, selepas menanti sekian lama sejak Piala Malaysia diperkenalkan atas nama Piala Malaya pada 1921 kali ini peluang terbaik untuk menyaksikan skuad Hang Tuah mara ke final.

Katanya, pencapaian terbaik mara ke separuh akhir 1983 sudah berjaya direalisasikan, namun 90 minit berbaki berdepan KL City malam esok di Stadium Hang Jebat mampu menamatkan penantian satu abad.

Menurutnya, walaupun pada awalnya persembahan pasukan sukar diramal namun dia melihat kemantapan mula terserlah selepas muncul juara kumpulan C dan mengetepikan Kedah (KDA) yang juga antara pasukan pilihan selaku naib juara.

"Kami positif pasukan mampu berada di Bukit Jalil pada aksi final, namun ia perlu dimuktamadkan di Paya Rumput. Bagaimanapun sebarang kemungkinan boleh berlaku, justeru fokus keperluan utama buat pemain pada malam esok.

"Jika tidak alpa dan mereka bermain penuh persefahaman dan menutup setiap usaha KL City untuk menceroboh kubu pasukan, sudah pasti kejayaan milik Melaka,"katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Muhammad Akram Abdullah pula berkata, sudah tentu skuad terbabit dan peminat setia malah rakyat Melaka mengimpikan mara ke final Piala Malaysia sekali gus melakar sejarah baharu bola sepak Hang Tuah. "Bagaimanapun masih ada 90 minit untuk diharungi berdepan KL City yang mampu memberikan kejutan jika pemain sedikit leka. Biarpun mempunyai kelebihan gol, tugas kami tetap mencabar kerana pelawat sudah tentu sedaya upaya untuk mendapatkan gol di Hang Jebat selepas terikat 1-1 di Cheras," katanya.

Beliau juga yakin sokongan padu penyokong mampu melonjak semangat pemain untuk memenangi perlawanan sekali gus membawa Melaka ke final buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:53 PM