Firdaus Hashim

 

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 orang penyokong jatuh pengsan dan ada yang dipijak ketika bersesak-sesak sebaik kaunter tiket dibuka tepat pada jam 10 pagi tadi.

Itu senario yang berlaku di kaunter A, Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pagi ini apabila lebih 10,000  penyokong membanjiri kawasan itu bagi mendapatkan tiket final pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam pada Selasa ini.

Salah seorang penyokong, Khairul Abd Rahman, 39, berkata keadaan bertambah buruk apabila pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya membuka empat kaunter jualan.

"Mereka dah tahu penyokong akan ramai datang untuk mendapatkan baki 40,000 tiket, sepatutnya buka lah kaunter banyak lagi,” kata Khairul.

"Bila sistem tak betul, inilah jadinya. Kami datang nak sokong pasukan negara tapi dilayan macam sampah oleh FAM dan pihak stadium. Langsung tak belajar daripada kesilapan lalu padahal isu ini dah selalu berlaku setiap kali final pasukan Malaysia ataupun liga."

 PENYOKONG pengsan ketika menunggu giliran membeli tiket final Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi ini. Foto Firdaus Hashim
PENYOKONG pengsan ketika menunggu giliran membeli tiket final Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi ini. Foto Firdaus Hashim

Azre Shariman, 40, berkata ada wanita yang dipijak selepas terjatuh sebaik kaunter tiket dibuka oleh pihak stadium.

"Ada perempuan depan saya tadi jatuh dan kena pijak. Nasib baik saya dan kawan sempat angkat dan bawa dia ke tepi.

"Patutnya FAM dari malam tadi pasang penghadang garisan untuk elak insiden macam ini berlaku," katanya Azre yang datang dari Cheras.

Terdahulu, 40,000 tiket yang dijual dalam talian sudah habis dijual dengan hari ini baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal di dua tempat termasuk di Stadium Nasional Bukit Jalil dan beberapa cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka yang berharga RM40 sekeping.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mara ke final Piala AFF buat kali keempat dan mereka akan berdepan juara 2008, Vietnam pada Selasa ini.

Aksi timbal balik di Hanoi pula dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

 

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 11:30 AM
    SHARIMAN jelaskan ada penyokong wanita yang kena pijak ketika berebut untuk mendapat tiket final Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
    SHARIMAN jelaskan ada penyokong wanita yang kena pijak ketika berebut untuk mendapat tiket final Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.