K DEVAN (dua dari kiri) ketika sidang media di UiTM Cawangan Negeri Sembilan hari ini.
K DEVAN (dua dari kiri) ketika sidang media di UiTM Cawangan Negeri Sembilan hari ini.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menamatkan saingan di tempat keempat carta Liga Super bakal memberi keyakinan yang tinggi kepada pemain skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mengharungi cabaran saingan Piala Malaysia musim ini.

Keyakinan itu dilontarkan ketua jurulatih pasukan berkenaan, K Devan yang mengakui pencapaian itu boleh dianggap cemerlang sebagai pendatang baharu beraksi dalam liga utama tempatan itu.

"Sebagai pendatang baharu, pencapaian pasukan di tempat keempat dalam Liga Super musim ini boleh memberi keyakinan dan impak positif kepada pemain serta pasukan untuk bersaing hebat dalam Piala Malaysia.

"Saya rasa kedudukan ini akan membantu kita untuk meneruskan cabaran dengan lebih baik dalam Liga Malaysia dan pasti pemain akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada kempen Piala Malaysia kali ini.

"Oleh itu, persiapan perlu dibuat dengan sebaik mungkin kerana cabaran Piala Malaysia menjanjikan saingan sengit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), di UiTM Seremban, di sini, hari ini.

Pengendali berpengalaman kelahiran Bahau itu akui nilai Piala Malaysia yang mempunyai sejarahnya tersendiri sukar dijangka.

Menurutnya, berbanding saingan liga, setiap pasukan yang bertanding dalam merebut trofi berprestij itu pasti akan memberikan komitmen sepenuhnya kerana ia saingan penutup tirai musim ini.

Justeru, anak buahnya akan berusaha meningkatkan prestasi dan persembahan masing-masing untuk membantu pasukan mencipta kejayaan dalam saingan itu.

Devan yang juga pengurus pasukan berkata, setiap pasukan impikan kejayaan atau melangkah ke pentas final dan begitu juga Negeri Sembilan, namun skuad bimbingannya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu lebih awal.

Skuad Hobin Jang Hobin yang diundi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC, bakal bertandang ke Stadium Darul Aman Alor Setar pada aksi pertama 25 Oktober ini sebelum menanti kunjungan Helang Merah itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 8:22 PM