SARKUNAN harap dapat mencipta kejayaan lebih baik bersama Negeri Sembilan musim ini. FOTO Sarkunan
SARKUNAN harap dapat mencipta kejayaan lebih baik bersama Negeri Sembilan musim ini. FOTO Sarkunan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dahagakan kejayaan yang lebih tinggi mendorong pemain tengah, K Sarkunan terus fokus kepada usaha meningkatkan tahap prestasinya kerana mahu membantu skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tampil hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu amat mengharapkan perpindahannya ke pasukan NSFC dapat memberi sinar dalam kerjaya bola sepak profesional diceburinya.

"Agak sudah lama juga saya tidak berpeluang menjulang trofi kejuaraan dalam Liga M selepas membantu Selangor muncul naib juara Piala FA pada 2018. Saya mengharapkan tuah bersama Negeri Sembilan musim ini dengan melakar sesuatu yang membanggakan.

"Walaupun Negeri Sembilan mungkin dianggap pasukan baharu dalam saingan Liga Super, tapi pasukan ini memiliki pengalaman dan bukan asing di pentas saingan liga utama itu," katanya di sini, hari ini.

Justeru, dia berkeyakinan betapa Negeri Sembilan mampu memberikan cabaran bermakna dalam saingan Liga Super menerusi persiapan rapi termasuk gandingan pemain berpengalaman dan muda, selain tenaga lima pemain import yang memiliki rekod baik di pentas masing-masing.

Menurutnya, faktor yang ada itu juga bukan sesuatu yang mustahil buat skuad Hobin Jang Hobin untuk mencipta kejutan.

"Setiap pemain mahukan kejayaan luar biasa dan tidak salah kita menyimpan impian tinggi kerana Negeri Sembilan juga pernah melakar banyak kejayaan sebelum ini, termasuk menjulang trofi Piala Malaysia.

"Saya berharap dapat membantu menjulang nama Negeri Sembilan dan peluang itu dilihat berupaya dilakukan menerusi pemain yang dimiliki musim ini," katanya.

Sarkunan berkata, usaha membentuk pasukan mantap dilihat lancar walaupun ada kalangan pemain yang pertama kali bergandingan.

"Bagi saya sendiri, selepas lebih sebulan menjalani latihan di bawah bimbingan K Devan, tahap keyakinan diri semakin meningkat dan banyak perkara yang dapat saya pelajari daripada beliau.

"Menjadi fokus utama saya untuk memastikan kehadiran bersama Negeri Sembilan bukan sahaja memberi impak positif kepada pasukan, tetapi mahu mendapatkan suatu kejayaan yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 10:29 PM